MENGENAI BATU PERMATA

Batu permata sama ada berharga atau separa berharga ialah sejenis mineral yang menarik, apabila dipotong atau dicanai - digunakan sebagai barang kemas dan perhiasan. Sesetengah batu (seperti lapis lazuli) dan bahan organik (seperti amber dan jet) bukannya sejenis mineral tetapi digunakan sebagai perhiasan, dan oleh itu diterima sebagai batu permata. Kebanyakan batu permata keras, tetapi terdapat juga mineral yang lembut dijadikan batu permata kerana kecantikannya atau mempunyai sifat fizikal yang ada nilai estetik.

Jarang dijumpai (rare) juga merupakan satu sifat/karakteristik yang menjadikan nilai yang tinggi kepada batu permata. Kajian berkenaan dengan batu permata dinamakan gemologi. Sejak zaman dahulu, batu permata digunakan sebagai bahan perhiasan yang berharga (precious) dan turut digunakan sebagai simbol kekayaan, kekuasaan dan keagungan dalam tamadun silam.

Batu permata dikenalpasti oleh ahli gemologi yang menggambarkan batu permata dan karakteristiknya menggunakan terminologi yang teknikal dan spesifik kepada bidang gemologi. Karakteristik pertama yang digunakan oleh ahli gemologi untuk mengenalpasti batu permata ialah komposisi kimia. Sebagai contoh, diamond terhasil dari karbon (C) dan ruby dari alumunium oksida (Al2O3).

Selepas itu, kebanyakan batu permata adalah kristal dimana ia diklasifikasikan dengan sistem kristal seperti kubik atau trigonal atau monoklinik. Satu lagi terma yang digunakan ialah ragam (habit), iaitu bentuk permata yang dijumpai. Sebagai contoh diamond mempunyai sistem kristal kubik dan biasa dijumpai sebagai oktahedron.

Batu permata juga dikelaskan kepada kumpulan, spesis dan varieti. Sebagi contoh ruby ialah varieti berwarna merah dari spesis corundum, manakala corundum yang mempunyai warna lain selain merah dikira sebagai sapphire. Emerald (hijau), aquamarine (biru), bixbite (merah), goshenite (tidak berwarna), heliodor (kuning), dan morganite (merah jambu) merupakan varieti mineral dari spesis beryl.

Selain itu, sifat fizikal batu permata turut menjadi rujukan kepada karakteristik batu permata seperti indeks pembiasan, penyebaran cahaya, graviti tentu, kekerasan, corek (streak), luster, fraktur dan pembelahan (cleavage). Terdapat batu permata yang menunjukkan sifat pleokorisme atau dwi biasan (double refraction). Batu permata juga dinilai dengan sifat pencahayaan dan penyerapan spektrum cahaya. Objek, jasad atau bahan lain yang terkandung di dalam batu permata dikenali sebagai bendasing (inclusion).

Perbezaan yang ketara diantara batu permata asli dengan batu biasa ialah kecantikan, ketahanan, kekerasan, kesukaran untuk mendapatkannya, cara batu permata membias dan memancarkan cahaya, dan ciri-ciri lain yang tidak terdapat pada batu biasa.

Kebanyakan batu permata adalah mineral ataupun kristal batuan di dalam kerak bumi. Batu permata mempunyai komposisi kimia yang spesifik, dan struktur atom yang tersusun rapi di dalam bentuk tertentu. Komposisi kimia ini seterusnya membentuk warna, fizikal, dan ciri-ciri yang membezakan batu permata diantara satu sama lain. Berat batu permata diukur dalam nilai karat dimana satu karat ialah 0.2 gram (1/5 gram).

Batu permata perlu keras dan resistan terhadap perubahan kimia dengan pemakaian yang kerap. Kekerasan (hardness) dan ketahanan (durability) merupakan kunci utama di dalam menentukan batu permata. Skala 1 hingga 10 digunakan bagi menentukan kekerasan batu permata yang dikenali sebagai Skala Mohs. Skala ini dicipta oleh Friedrich Mohs seorang pakar mineralogi yang berasal dari German dan digunakan sebagai standard di dalam menentukan kekerasan batu permata. Di dalam skala kekerasan tersebut, diamond merupakan mineral terkeras (10) dan talc merupakan mineral yang paling lembut (1). Batu permata yang sesuai bagi pemakaian yang kerap haruslah keras dan berada pada nilai dalam lingkungan 6 hingga 10 pada skala Mohs.

Walaupun kekerasan merupakan faktor penting di dalam penilaian batu permata, satu perkara yang penting juga ialah kekuatan (toughness) batu permata tersebut. Diamond mempunyai kekerasan 10 pada skala Mohs merupakan mineral terkeras di dunia tetapi tidak begitu kuat sebenarnya kerana terdapat ikatan karbon yang lemah dan boleh pecah jika terkena hentaman yang kuat. Begitu juga sapphire dan ruby (nilai 9 pada skala Mohs), topaz (8), emerald (7.5 hingga 8), dan beberapa batu permata lain boleh pecah jika terkena hentaman yang kuat.

Selain itu, terdapat juga batu permata yang keras tetapi tidak boleh bertahan dengan perubahan kimia atau pendedahan kepada gelombang ultrasonik atau cahaya ultraviolet seperti kunzite, hiddenite dan tanzanite. Kekuatan (toughness) menjadi ciri-ciri istimewa pada sesetengah batu permata. Contohnya jadeite yang hanya mempunyai kekerasan pada nilai 7 skala Mohs tetapi mempunyai struktur yang terdiri dari gentian fiber yang terikat kukuh diantara satu sama lain untuk menjadikannya sebagai satu batu permata yang cukup kuat.

MAKLUMAT LANJUT / KURSUS, SILA DAPATKAN BUKU TERBARU KAMI.


Sila e-mel ke bahagian E-DAGANG KAMI untuk tempahan.


E-mel ke : onlinetrading2u@gmail.com